Pengguna Facebook luah kemarahan
KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengguna laman web sosial, Facebook, semalam mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, meletakkan jawatan, selang dua hari selepas Himpunan Gabungan bagi Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) 2.0 diadakan, lapor sebuah laman berita dalam talian.
Halaman itu, yang dipercayai dibentuk selepas ribuan orang membanjiri ibu kota Malaysia, Sabtu lalu, telah menarik sekurang-kurangnya lima pengguna yang menekan butang 'like' setiap saat dan mencecah 100,000 kira-kira 3.50 pagi semalam.
Sebaik sahaja menekankan butang 'like', ratusan pengguna menulis 'Anda Dipecat' pada laman itu, sambil merujuk perkara itu kepada perdana menteri keenam Malaysia itu.
Halaman itu juga menyasarkan sejuta pengguna untuk menyokong dan menarik perhatian Datuk Seri Najib, menurut The Malaysian Insider, semalam.
Malah, ada juga pengguna yang mencadangkan kepada sesiapa yang menekan butang 'like', menekan butang 'unlike' di laman Facebook Datuk Seri Najib.
'Tik tok tik tok, bilangan semakin bertambah setiap saat,' kata pengguna, Iven Leh, seperti ditukil oleh laman berita itu.
'Kita boleh lihat, berapa ramai yang mahu beliau meletakkan jawatan. Beliau sepatutnya berfikir apa yang telah beliau lakukan kepada rakyat yang tidak bersalah dalam perhimpunan aman,' tambahnya.
Kebanyakan yang menekan 'like' pada laman itu dipercayai adalah penyokong Bersih 2.0 kerana ia turut memaparkan komen berbaur kemarahan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib.
'Najib, saya menggesa anda melihat laman rasmi penyokong Bersih 2.0. Tiada serangan fizikal? Tiada keganasan? Jadi apa yang berlaku ini tidak dipanggil keganasan?' kata pengunjung bernama Kenny Chong.
Datuk Seri Najib kelmarin menafikan polis melakukan kekerasan dalam perhimpunan Bersih 2.0 itu, sementara Menteri Dalam Negerinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan tindakan pihak berkuasa berjaya menangani perhimpunan itu.
Datuk Seri Najib juga sempat menghabiskan masa melawat sekitar Kuala Lumpur, selang 24 jam selepas pusat bandar itu menjadi medan pertempuran para penyokong Bersih 2.0 dengan pihak berkuasa.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin semalam berkata kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan terhadap media setempat dan asing jika mereka menerbitkan laporan tidak betul dan kurang tepat mengenai perhimpunan Bersih 2.0.
Menurut beliau, pihak polis sedang melihat semula semua rakaman berlakunya kekerasan polis seperti didakwa oleh penyokong Bersih dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata tindakan akan dikenakan ke atas media dalam talian dan blog-blog jika mereka membuat laporan 'palsu' itu
ADA CAHAYA
13 years ago
0 comments:
Post a Comment