Dengan kebenaran untuk edar Injil, tidak ada sebab untuk pengundi Kristian tidak menyokong kerajaan
BETONG: Isu kitab Injil yang kini boleh diedarkan semula tidak lagi menjadi kontroversi di kalangan pengundi beragama Kristian sekali gus tidak meninggalkan impak pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Sabtu ini.
Subdeacon Gereja St Augustine Laja @ Matthew Belaka, 63, berkata dengan kebenaran yang ada untuk mengedarkan Injil, tidak ada sebab untuk para pengundi beragama Kristian tidak menyokong kerajaan.
“Kebenaran tersebut sudah diberi dan tidak ada sebab ia menjadi halangan untuk kita dalam memberi sokongan (kepada BN) malah perkara itu sekali gus mencerminkan kebebasan beragama di negara kita.
“Perkara tersebut tidak akan menjejaskan pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo, semalam.
Beliau yang juga pesara guru yang berasal dari Rumah Pok berkata, malah manifesto pilihan raya BN turut memberitahu bahawa kita bebas memilih agama.
“Tidak ada sebab untuk kita kecil hati terhadap kerajaan. Setiap kaum perlu berterima kasih kerana kerajaan mengiktiraf dan membenarkan kita memilih agama, mengikut hati masing-masing,” katanya.
Pesara polis, Baba Uchau, 54, melahirkan penghargaan kepada kerajaan, khasnya Kementerian Dalam Negeri kerana membenarkan Injil diedar semula.
“Jadi saya ingin memohon semua umat Kristian, tanpa mengira dari gereja mana untuk memberi penghargaan kepada kerajaan kerana membenarkan Injil diedar semula dengan bebas,” katanya.
Menurutnya yang berasal dari Rumah Bebuling Atas, di Spaoh, perkara itu tidak lagi membelenggu penganut Kristian kerana membuktikan Malaysia sememangnya mengamalkan kebebasan beragama.
“Ini sememangnya perkara yang baik. Saya mewakili penganut Kristian di Sarawak mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai pihak pembangkang yang masih menggunakan isu itu semasa berkempen, beliau berkata:
“Pembangkang tidak ada membuat ‘homework’ kerana tidak tahu perkembangan terkini.
“Kalau kita seorang ahli politik yang tulen, kita harus sentiasa mengetahui perkembangan semasa, bukan melempar hujah tidak berasas.
Bagi Jonathan Tindin, 58, pula beliau sentiasa yakin perkara itu mampu diselesaikan oleh kerajaan BN dan menunjukkan kerajaan sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama.
Menurut pesara syarikat Shell Sarawak Berhad itu, kerajaan telah banyak membantu gereja-gereja di Betong sama ada Katolik, Anglikan mahupun Sidang Injil Borneo (SIB).
Dalam pada itu, beliau melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BN kerana banyak membantu agama-agama lain di Malaysia.
“BN banyak membantu Kristian. Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM600,000 kepada gereja St Augustine untuk membina atau menaik taraf gereja tersebut,” katanya.
ADA CAHAYA
13 years ago
0 comments:
Post a Comment