Monday, April 11, 2011

Ada positif, ada negatif

JANA ELEKTRIK...sumber nuklear untuk kegunaan elektrik.
BENCANA yang menimpa Jepun baru-baru ini sukar dilupakan. Malang gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter disusuli tsunami yang melanda negara Matahari Terbit itu ditambah dengan kesan radiasi disebarkan akibat kebocoran reaktor loji nuklearnya di Fukushima.
Daripada enam reaktor aktif yang ada, Jepun menaikkan skala lima, lagi dua peringkat untuk menyamai tragedi Chernobyl di Ukraine pada 1986.


RISIKO...loji nuklear perlu dekat dengan sumber air.

LOJI NUKLEAR...kajian mendalam perlu dilaksanakan sebelum membinanya.
RADIASI...berupaya ancam nyawa manusia.
Ia berpunca daripada kebimbangan atas faktor reaktor di bangunan 1, 2 dan 3 Fukushima Daiichi selepas kegagalan menyejukkannya.

Tahap radiasi lebih tinggi daripada normal juga dicatat di beberapa tempat sejauh 30 kilometer dari lokasi loji berkenaan manakala di ibu negara Tokyo keadaan masih normal.

Reaktor Fukushima Daiichi terus menghantui kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.


Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil potasium iodin bagi melindungi diri daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk pernah melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945.

Fukushima Daiichi yang dibina pada 1971 adalah satu daripada 15 stesen nuklear terbesar di dunia yang menyalurkan tenaga elektrik kira-kira 29,891 GWh kepada penduduk Jepun.

Secara umumnya, bencana yang menimpa Fukushima juga terkena tempiasnya
di negara ini apabila kerajaan turut bercadang untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai ganti kepada sumber lain seperti arang batu yang susut.

Kos pembinaan loji jana kuasa nuklear berkapasiti 1,000 megawatt untuk menghasilkan tenaga elektrik yang dijangka beroperasi pada 2021 dianggarkan mencecah antara RM8.25 bilion hingga RM12.8 bilion.

Hakikatnya, teknologi nuklear bukanlah perkara asing kepada Malaysia kerana negara ini mempunyai reaktor nuklear, Reaktor Triga Puspati (RTP) yang beroperasi sejak 1982 bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang perubatan, pertanian dan kajian neutron.

Malaysia juga dikatakan mempunyai jumlah pakar nuklear tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan kebanyakannya bertugas di Agensi Nuklear Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT).

Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meramalkan keperluan kepada sumber tenaga alternatif bagi menjana elektrik semakin kritikal menjelang 2019 selepas sumber fosil khususnya gas semakin menyusut dan tidak lestari.

Projek nuklear yang pernah ditangguhkan pada 1970-an itu mempunyai jangka hayat 50 hingga 70 tahun bagi menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat ekoran peningkatan populasi dan kepesatan ekonomi.

Secara ringkasnya, jana kuasa nuklear akan menggunakan uranium dalam bentuk isotop untuk menghasilkan haba yang banyak daripada beberapa siri tindak balas sebelum haba itu digunakan untuk memutarkan turbin untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Ketika ini, lebih 80 peratus daripada penjanaan elektrik negara bergantung kepada sumber konvensional fosil iaitu gas (60 peratus) dan arang batu (24 peratus) dengan selebihnya dijana daripada hidro dan biomas.

Perancangan sebelum ini mendedahkan lima lokasi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear di negara ini berdasarkan faktor seismik, iaitu pergerakan gelombang tenaga dalam bumi yang disebabkan gempa bumi, letupan atau proses lain membabitkan tenaga frekuensi rendah.

Melalui penyelidikannya, faktor seismik turut dimuatkan seperti sejarah gempa bumi membabitkan radius 300 kilometer dari lokasi dicadangkan.

Kalau benar faktor itu menjadi ukuran, loji nuklear pertama negara berkapasiti 1,000 megawatt itu mungkin dibina di sebelah pantai timur kerana aktiviti seismik minimum di Laut China Selatan, berbanding sebelah Selat Melaka yang pernah dilanda tsunami pada penghujung 2004.

Bukan mudah mahu membina loji nuklear kerana kita perlu memikirkan faktor geologi yang memerlukan lapisan batuan dasar kukuh seperti granit dan sumber air banyak seperti berdekatan laut atau sungai.

Kita juga perlu mengambil berat faktor kebocoran radiasi terutama selepas berlakunya bencana yang menimpa Fukushima.

Fukushima kini bertarung mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi).

Terdapat cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut daripada helikopter tetapi dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal minggu lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, Gregory Jaczko memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’, adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji dengan mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam soal jawab di laman webnya memaklumkan, tenaga elektrik yang dihasilkan daripada loji kuasa nuklear lebih murah berbanding daripada sumber alternatif lain di samping dikatakan ‘teknologi bersih’ tanpa pembebasan karbon dioksida ke atmosfera.

Menurut sumbernya, loji kuasa nuklear menjana kuasa elektrik antara 500 MWe hingga 1500 Mwe dan kini terdapat 439 loji yang beroperasi di 30 negara
di seluruh dunia.

Peratusan tenaga elektrik yang dihasilkan loji kuasa nuklear adalah 17 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga elektrik dunia.

Selain daripada menghasilkan tenaga elektrik, loji nuklear mampu menghasilkan hidrogen cecair yang boleh disalurkan melalui sistem paip untuk digunakan sebagai bahan api gantian petroleum bagi sektor pengangkutan, industri, domestik, komersial dan sebagainya.

Negara Asia Tenggara yang sudah merancang untuk membina loji termasuk Indonesia (empat) dengan jumlah keupayaan 4,000 MWe menjelang 2016, Vietnam (dua) dengan jumlah keupayaan 2,000 MWe pada 2018 dan Thailand (dua) dengan keupayaan 2,000 Mwe pada 2021.

Bagaimanapun, selepas tragedi Fukushima, Malaysia perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memikirkan secara mendalam pembinaan loji terbabit berdasarkan faktor alam yang mungkin membahayakan loji, seterusnya penduduk di negara ini.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga menunjukkan kebimbangan terhadap pembinaan loji di negara ini apabila dilaporkan berkata, Malaysia masih belum bersedia untuk membina dan mengendalikan loji tenaga nuklear.

Katanya, ketika pentadbirannya, Kabinet pernah membuat keputusan memberi tumpuan kepada hanya empat sumber untuk menjana tenaga iaitu minyak, gas, arang batu dan air atau tenaga hidro manakala nuklear bukan satu pilihan kerajaan ketika itu.

“Masih banyak yang kita belum tahu mengenai teknologi lakuran (fusion) kerana sebaik saja ia menjadi radioaktif, kita akan hilang kawalan ke atasnya dan kita juga tidak mengetahui dengan cukup kesan radiasi dihasilkannya.

“Selain itu, kita juga tidak tahu macam mana hendak menghapuskan bahan buangan radioaktif dan jika makin banyak negara membina loji tenaga nuklear, lebih banyak bahan buangan terpaksa dilupuskan,” katanya.

Kesan radiasi mempunyai impak yang besar. Lihat saja apa yang berlaku di Jepun selepas Perang Dunia Kedua dan Reaktor Nombor 4 Chernobyl yang meletup pada 26 April 1986 menyebarkan radiasi ke kawasan luas di utara Eropah.

Tragedi Chernobyl menyebabkan ratusan ribu orang di kawasan yang dicemari radiasi itu dipindahkan termasuk di Ukraine, Belarus dan Russia menjadikan kawasan yang mempunyai 14,00 rumah terbabit menjadi padang jarak padang tekukur.
Sehingga hari ini, masalah kesihatan penduduk rantau itu yang ada kaitan dengan pencemaran radiasi terus dilaporkan.

Zon eksklusif itu meliputi kawasan 48 kilometer dari reaktor yang meletup dan mencatat tahap pencemaran tertinggi. Ia menyebabkan semua penghuni dipindahkan dan kawasan itu menjadi tempat larangan dengan semua bentuk kunjungan adalah diharamkan.

Debu radioaktif yang tinggi boleh mencemari kawasan di lingkungan tiga kilometer dari loji untuk tempoh beberapa hari bergantung kepada kemusnahannya, namun jangka hayat pendek antara beberapa saat tidak membahayakan kawasan yang jauh dari kawasan tragedi.

Sebelum ini, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris dalam suratnya, menggesa kerajaan menghentikan dengan segera idea untuk membina loji nuklear dan empangan besar untuk menangani krisis tenaga.

Katanya, daripada semua teknologi penjanaan elektrik, tenaga nuklear adalah salah satu yang mampu mengakibatkan malapetaka kemalangan.

“Mana-mana negara dengan aspirasi nuklear perlu menimbang risiko bencana kemalangan sebagai sumbangan negatif utama teknologi ini,” katanya.

Meskipun tenaga nuklear ada manfaatnya, Malaysia perlu mengkaji secara mendalam pembinaan loji terbabit sedangkan Jepun yang terkenal dengan kepakaran teknologi pun tidak mampu mengelak musibah dan kuasa Tuhan.

Tragedi Fukushima bukan wayang yang dipertontonkan, namun ia perlu diambil
pengajaran dalam usaha memastikan negara ini selamat.

1 comments:

dulu jepun maju 10 tahun dari malaysia,tapi kini jepun 10 tahun dibelakang malaysia.

Check Page Rank of your Web site pages instantly:

This page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

Facebook Anak.Watan.Betong

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites